Bahagia yang dicari.

Thursday, January 5, 2012
Alhamdulillah, Allah  masih sudi memberi diri ini dan sahabat-sahabat nafas kehidupan di bumiNya. Jika mahu, boleh sahaja Allah mengambil kita kembali ke sisiNya bila-bila masa. Tapi percaturan Allah pastilah yang terbaik. Allah sudi kurniakan kita kesempatan untuk kita baiki kelemahan-kelemahan yang ada dan menambah amalan-amalan untuk kembali kepada DIA kelak. Baiknya Allah. Malunya rasa diri jika masa yang ada ini tidak dihabiskan pada jalan-jalan kebaikan sedangkan Allah menilai segala perbuatan kita walau sebesar zarah. Allahurabbi..

Maka, mari kita mulakan nafas yang ada dengan menterjemahkan seluruh kehidupan selepas detik nafas ini pada jalan yang dinamakan kebaikan. Kebaikan yang lahir bukannya kebaikan yang dibuat-dibuat,bukannya yang  ditunjuk-tunjuk tapi kebaikan yang lahir hasil hubungan kita dengan Allah s.w.t , merasa ihsan denganNya setelah islam dan iman.

Lalu sekarang, apakah rasa hati dan hidup kita? Mungkinkah rasa bahagia atau…

Maha suci Allah ,kurniakan  buat kita hati  untuk kita merasai pelbagai perasaan yang indah-indah. Hati yang bahagia dan berona indah akan melahirkan peribadi-peribadi yang jernih dan sahsiah-sahsiah yang hebat walaupun dia seorang yang biasa-biasa. Tidak perlu bergelar Dato’ mahupun Profesor untuk mempunyai hati dan kehidupan yang bahagia.

Bahagia yang bagaimana.

Bahagia itu sama halnya seperti cantik. Ia terlalu subjektif untuk diukur. Tapi bila menjadi mukmin keindahan itu akan lahir bila hatinya bahagia dengan apa yang Allah bagi padanya. Bahagianya dia bukan terletak pada wang ringgit, bukan terletak pada banyaknya harta, tapi terletak pada hati yang sentiasa bersedia menerima suratan takdir Illahi. Benar petikan sebuah hadis ini:
Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, Semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang-orang mukmin.: Kalau dia mendapat kesenangan dia bersyukur itulah yang lebih baik baginya,dan jika dia ditimpa sebarang kemudhoratan, dia bersabar itulah yang lebih baik baginya."
Seronok kan bila jadi mukmin ini. Kita tak perlu resah sebab kita tahu, kita ada Allah untuk mengadu. Kita ada Allah untuk bantu. Banyakkan melafazkan kalimah-kalimah tayyibah agar hati terdidik untuk taat, patuh serta merasa khauf(takut) dan raja’(berharap) dalam setiap waktu.
Saya pun seorang biasa, yang menulis kalam-kalam biasa  untuk mengingatkan diri ini tentang iman kepada Allah. Di samping nasihat diri sendiri saya kongsikan dengan kawan-kawan jikalau apa yang tersirat di hati ini, ada yang sama-sama merasai juga.
Kalam-kalam yang saya tulis bukanlah untuk bermegah-megah tapi kerana takut akan gelapnya hati  apabila tiada peringatan, saya kira menukilkannya di laman sesawang akan membuat diri sendiri lebih termuhasabah.
Sahabat-sahabat,
Kita sama-sama mencari bahagia, namun ada jalan-jalan sukar yang perlu kita tempuhi. Kadang-kadang jalan  itu penuh duri, akhirnya membuatkan kita terluka. Namun kerana kita yakin halangan-halangan itu tidak sedikit pun mematahkan semangat kita lantaran ada keindahan yang sedang menunggu, ada janji yang Allah janjikan buat kita, maka teruskanlah perjuangan hingga ke titisan terakhir untuk meraih hati yang bahagia, dan saleem.

Kunci  bahagia.

Disini saya kongsikan bagaimana untuk memiliki bahagia yang sebenar.

1.Mempunyai iman yang sempurna
2. Apabila jatuh cinta pada Allah melebihi segala.
3. Apabila cinta pada rasulullah s.a.w.
4. Apabila islam diutamakan melebihi daripada keutamaan diri sendiri.
5. Bebas dari kongkongan hawa nafsu.
6.Apabila dunia ditangannya bukan dihatinya.
7. Apabila ibadahnya merdeka; iaitu hanya untuk Allah semata-mata bukan pada yang lainnya.
8. Apabila hidupnya bermatlamatkan hidup rabbani, mendamba mardhotillah.

Salam cinta buat semua, Moga kita memperolehi bahagia yang sebenar.^_^

Pujukan Eksklusif daripada Allah

Monday, January 2, 2012
Adik kan ada Allah:), jangan sedih-sedih lagi.


Bila diri diuji , siapa lagi teman akrab meluahkan hati dan perasaan jika bukan Allah, Dia sebaik-baik tempat mengadu. Pernah mengadu pada Allah?Rasa tak kemanisan berdating denganNya:)

Berkongsi masalah dengan kawan-kawan tidak salah, tapi yang salah apabila meletakkan kawan itu sebagai penyelesai masalah yang diluahkan. Sedangkan yang mengizin sesuatu masalah itu ialah Allah s..wt, jadi sudah pasti yang memberi penyelesaiannya jua adalah Dia.

Nabi Muhammad s.a.w insan paling agung disisi Allah, akan tetapi baginda tetap dan terus diuji semasa hayatnya. Ini membuktikan Allah memberi kita tauladan melalui kehidupan Baginda yang penuh ujian. Lalu apakah kata-kata cinta Allah kepada  Baginda s.a.w ?

Allah memujuk :


Dan (dengan Yang demikian) Bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana Sesungguhnya Engkau tetap terselamat Dalam pemuliharaan serta pengawasan kami; dan bertasbihlah Dengan memuji Tuhanmu semasa Engkau bangun.Dan juga hendaklah Engkau bertasbih kepadanya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).


Apa yang kawan-kawan dapat?


Kalau ikutkan boleh sahaja Allah memujuk Baginda s.a.w dengan memberikan Baginda harta yang banyak ataupun dengan kesenangan-kesenangan lain yang bebentuk keduniaan akan tetapi Allah punyai cara ekslusif buat Baginda agar Baginda s.a.w sentiasa dekat dengan Dia, iaitu ;


1.Bersabarlah
2.Bertasbihlah memuji Allah
3.Dirikanlah solat malam
Hebatkan cara Allah memujuk kekasihNya. Pengajaran ataupun cara ini adalah untuk semua hamba-hambaNya, bukan khusus buat Baginda s.a.w sahaja. Mahu sahaja punyai jiwa seperti baginda, tapi itu mustahil kerana  kita manusia biasa, sedangkan Baginda, maksum dan terpelihara dari dosa.


Dunia menggentarkan hati


Sebagai manusia biasa, mudah sahaja kita terpesona dengan dunia, bila melihat orang lain bahagia dengan berbagai nikmat, kita pula sengsara lantaran cemburu.


Apakah kita sedar, Allah tidak menilai semua itu? Apa yang Allah pandang ialah hati dan taqwa seseorang. Resahkan dan sebakkanlah hati dengan memikirkan kehidupan di akhirat yang nyata jauh lebih panjang dari dunia ini.


Fikir tak..
Kita bakal mati bila-masa, mungkin sedetik lagi


Fikir tak,
Apakah pahala, apakah dosa yang kita lakukan,


Fikir tak,
Apakah kita dah berusaha nak baiki iman pada Allah,


Mari kita sama-sama fikir, kerana fikir itu zikir. Segala kebaikan akan kembali buat kita di akhirat kelak, jadi belum terlambat untuk  meletakkan Allah dalam setiap langkah kita walau kemana pun kita tercampak. Jangan takut dan bimbang kerana Allah sentiasa bersama kita, cuma satu kunci sahaja, YAKIN dan PERCAYA, Allah maha mendengar maha melihat dan maha mengetahui.


Jadi sekarang tak gusar lagi sebab setiap orang yang kita hadapi, orang-orang itu Allah yang hadirkan, begitu juga setiap masalah yang kita hadapi, Allah yang izinkan, kembali kepada Allah, doalah sentiasa, Allah tak jemu mendengarnya,satu lagi, sabarlah,Allah sedang memujuk kita dengan ujian, supaya ingat DIA lebih, betul tak?


Moga Allah pandu=)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...