Hargailah

Saturday, July 16, 2011
Ramai lelaki terlupa untuk menghargai perempuan di sekelilingnya. Mungkin disebabkan perempuan itu begitu tabah tidak menunjukkan air mata, mungkin juga lelaki telah kebal dan kalis dengan air mata dan pengorbanan perempuan atau mungkin juga mereka melihat perempuan sama sahaja seperti lelaki. Atau mereka sudah kebal dan tidak melihat perempuan di hadapan mereka istimewa kerana melihat perempuan lain yang ajnabi yang lebih menarik.

Saya hendak menulis tentang lelaki dan perempuan yang memiliki iman.

Bagi manusia yang mempunyai secebis iman, hargailah perempuan kerana perempuan yang beriman itu lebih mahal daripada dunia dan segala isinya. Apabila seorang perempuan beriman menjadi ibu, dia akan menjadi ibu yang terlalu istimewa, meredah segala ujian dengan tabah. Dia akan terus mendoakan anak-anak sepanjang hayatnya seolah-olah hidupnya untuk berdoa. Seorang ibu beriman seolah-olah kekeringan air mata kerana dia mahu anak-anaknya bahagia lalu air matanya tidak tumpah melainkan di hadapan Allah dan di dalam hati. Dia tahu dia mesti kuat supaya anak-anaknya kuat menghadapi kehidupan.

Seorang ibu beriman selalu menahan perasaannya. Dia tahu doanya amat mustajab jadi dia hanya mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak walaupun si anak sering melukakan hatinya.

Apabila seorang perempuan beriman menjadi isteri, dia berkorban untuk suami. Kadang-kadang dan banyak ketika si isteri menangis suami tidak tahu. Bertuah si isteri yang mendapat suami beriman kerana suami itu akan melihatnya sebagai amanah ALlah. Suami beriman sangat menghargai isteri, mendidik dan menenangkan isterinya. Amanah Allah ini akan dijaga sebaiknya.

Perempuan bagaimana bijak dan tinggi pendidikannya tetaplah lemah perasaannya, ada ketika dia tidak rasional, mudah marah, mudah benci, mudah lemah dan mudah bersangka-sangka. Jadi, suami beriman akan sentiasa memberi ketenangan, mendidik dan menceriakan keadaan.

Suami beriman tahu isterinya menggadai nyawa di saat melahirkan anak-anak. Hampir sahaja kesakitan melahirkan membuat nyawa melayang. Suami beriman tahu susah isterinya menanggung kandungan 9 bulan,tubuh si isteri mengalami pelbagai perubahan. Kesakitan demi kesakitan yang bertambah sekian hari sudah tidak mampu diceritakan. Jadi isteri hanya memilih pasrah tanpa bercerita satu persatu kesakitannya. Suami yang baik akan sentiasa faham dan cuba memberi keselesaan terutama dengan kata-kata baik yang menenangkan perasaan, sentuhan dan pelukan yang mendamaikan. Sememangnya isteri mengandung perlu ketenangan ditambah dengan amalan-amalan dan zikrullah memohon rahmat Allah.

Lelaki yang keras dan tidak berlembut dengan isteri hanya akan membuatkan isteri semakin menjauhkan diri dan juga berkeras. Isteri akan menyembunyikan perasaan dan rasa. Isteri akan membina tembok kebal dalam dirinya sendiri. Lelaki beriman yang berlembut dengan isteri akan mendapat manfaat yang pelbagai kerana isteri juga tidak berkeras dengannya. Seorang suami yang sentisa memberi kepada ahli keluarganya sendiri dan membuat kebaikan kepada ahli keluarganya akan sentiasa mendapat rahmat Allah dan diluaskan rezeki.

Ramai manusia apabila semakin bertambah tanggungjawab dan kerja, semakin tidak kisah perasaan si isteri. Apa yang penting cukup makan dan pakai. Si isteri juga menjadi semakin kebal, perasaan lembut dan halusnya juga makin terpendam. Isteri tiba-tiba menjadi kuat sendiri
.




Kredit to : Kak Al-Bazrah

3 comments:

Senyumlah Selapangnya said...

Kalian yang bergelar ibu memang hebat:)moga ganjaran ALLAH kelak menghilangkan segala kesusahan dunia.Insya-ALLAH

~ AlFaqeerah Ila Rabbi ~ said...

Salam 'alaik dinda,

Subhanallah, bahagia kanda membacanya, moga keberkatan, kebahagiaan, ketenangan terus mengalir di hati insan bergelar 'IBU'..aamiin, insya-ALLAH

doakan kanda disini, slm syg kerana ALLAH :-)

Senyumlah Selapangnya said...

Insya-ALLAH, mudahan ia berterusan.

Sama2 mendoakan.:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...